Pada tahun 2020, di era globalisasi ini, di mana semua orang boleh mempunyai semua benda yang dihajati, memiliki lesen memandu Malaysia telah menjadi suatu kebiasaan dan juga keharusan.
Ia adalah sesuatu yang biasa dalam menjalani kehidupan seharian individu tanpa mengira usia, jantina, pangkat, mahupun kemampuan ekonomi masing-masing.
Kalau kita tidak mampu untuk memandu kereta jenama BMW, kita masih ada pilihan jenama kereta buatan tempatan yang harga agak murah, contohnya adalah seperti Proton dan Perodua.
Dan jika kita tidak mampu untuk membayar sekaligus bagi pembelian kereta, sekarang kita juga ada sistem pinjaman wang yang disediakan untuk memudahkan bayaran ansuran kereta secara bulanan.
lesen memandu
Keselamatan Mengguna Jalan Raya
Salah satu perkara yang paling penting dalam pemanduan adalah keselamatan di atas jalan raya. Walaupun penciptaan lesen memandu pertama yang diusulkan Karl Benz iaitu pencipta kereta moden pada tahun 1888 adalah sebenarnya lebih kepada mendapatkan sokongan pihak berkuasa bagi mendiamkan mereka yang tidak puas hati terhadap ciptaannya yang dikatakan menghasilkan bau asap dan bunyi yang kuat.
Namun tahun demi tahun dengan bertambahnya bilangan kenderaan di atas jalan raya, lesen memandu dilihat sebagai sesuatu yang penting dalam memastikan para pengguna jalan raya boleh menggunakannya dengan selamat.
Renew Lesen Memandu di Malaysia
Renew lesen memandu di Malaysia juga telah mengalami kepelbagaian dengan terciptanya pelbagai kenderaan abad ini yang mempunyai pelbagai saiz dan fungsi.
Fasa awal ketika di sekolah latihan memandu anda akan mula-mula diberi lesen L selepas melalui prosedur biasa iaitu daftar diri, menghadiri kelas dan juga mengambil ujian teori. Ini membolehkan anda memandu tetapi hanya dengan pengawasan guru sekolah memandu.
Selepas itu, anda diwajibkan untuk menghadiri kelas memandu. Setelah anda lulus dalam ujian praktikal memandu, kemudian anda akan diberikan lesen P.
Selepas mengambil ujian praktikal memandu, keputusan ujian memandu boleh diketahui melalui semakan online.
Selepas 2 tahun tanpa membuat masalah, anda akan dianugerahkan lesen kompeten atau lesen biasa. Lesen biasa mempunyai pelbagai jenis atau kelas iaitu lesen A, A1, B, B1, B2, C, D, DA, E, E1,E2, F, G, H, dan I.
Lesen memandu Malaysia tidak sukar diperoleh. Semakin banyak sekolah-sekolah memandu telah didirikan. JPJ juga telah mengadakan promosi hebat baru-baru ini menerusi program Myprihatin dengan hanya mengenakan bayaran RM100 untuk mendapatkan lesen motosikal kelas B2.
Setelah memperoleh lesen, anda tidak akan selamanya memegang lesen itu dengan sepanjang hayat dikandung badan. Terdapat tarikh tempoh tamat untuk lesen yang anda mempunyai itu, dan ia boleh diperbaharui tanpa perlu menjalani latihan dan ujian kembali. Anda boleh pilih tempoh sah lesen anda selama 1 hingga 5 tahun dengan caj berbeza mengikut tahun.
Tempat Untuk Renew Lesen Memandu
Buat masa ini, pembaharuan lesen secara online masih tidak lagi boleh dilakukan. Bermula 1 Januari 2018 baru-baru ini perkhidmatan renew lesen memandu Malaysia melalui laman https://www.myeg.com.my/ telah dihentikan dengan pesanan penaja yang kedengaran seperti mereka dalam proses mempertingkatkan sistem tersebut dan akan disambung kembali ke suatu tarikh yang tidak dimaklumkan lagi.
Namun, anda masih boleh memperbaharui lesen seperti dahulu kala. Anda boleh terus pergi ke pejabat cawangan JPJ atau ke mana-mana cawangan pejabat Pos Malaysia yang dekat dengan tempat tinggal anda untuk renew lesen.
Apa yang diperlukan adalah anda cuma perlu bawa kad pengenalan dan lesen sedia ada. Sekarang agak mudah, mereka menyediakan khidmat mengambil gambar baru atau anda boleh meminta mereka menggunakan gambar anda terdahulu termasuklah gambar daripada sistem kad pengenalan anda.
Kemudian, beritahu berapa tempoh tahun sah lesen anda. Caj yang dikenakan adalah sebanyak RM30 untuk setahun tempoh sah lesen.
Selepas anda buat bayaran dan lesen memandu anda akan diproses dengan terus. Namun, lecehnya anda terpaksa mengambil nombor dan mengikut giliran. Kena masanya memang berjam-jamlah waktu anda terbazir disitu.
Jangan risau jika anda terlewat memperbaharui lesen. Tiada caj dikenakan. Namun, jika anda tertangkap memandu dengan lesen yang sudah tamat tempoh, anda akan dikenakan kompaun berdasarkan bilangan hari lesen telah mati.
Dan lagi, jika lesen mati melebihi daripada 3 tahun, lesen anda akan dibatalkan terus. Dan anda harus melalui kelas dan ujian memandu sekali lagi jika anda ingin memiliki lesen kembali.
Lesen Memandu Antarabangsa
Manakala, lesen memandu antarabangsa pula perlu renew setahun sekali sahaja. Tidak semua negara menerima lesen ataupun permit antarabangsa ini sebagai perlepasan untuk rakyat asing memandu di negara mereka.
Namun, tidak perlu gusar kerana kebanyakan negara pelancongan ataupun destinasi utama rakyat Malaysia kita adalah seperti United Kingdom, Singapura, Australia, Thailand, Perancis dan juga Amerika Syarikat menerima permit memandu antarabangsa ini.