Web Analytics

Sindrom Karya Tidak Berkualiti Dan Cara Mengatasinya

Pernahkah kita menghadapi situasi tidak berpuas hati dengan karya yang ditulis?

Pernahkah kita menghadapi situasi, seperti kita sudah tidak boleh menghasilkan karya yang terbaik seperti sebelum ini?

tulis karya

Situasi ini merupakan satu sindrom. Sindrom yang membahayakan penulis sekiranya mereka hidup sebagai penulis sepenuh masa.

Kerana sindrom ini membunuh si penulis hari demi hari. Dalam mindanya, wujud persoalan seperti, “Aku sudah tidak boleh menulis lagi.”, “Aku keliru dengan perjalanan penulisanku.”, “Karya aku sudah tidak berkualiti, aku perlu mengaku kalah.”

Seperti kata John Michael Talbot, “Kita adalah apa yang kita fikirkan.”

Kenyataan ini benar sekali. Walau apa jua situasi yang berlaku pada diri penulis, kita mempunyai pilihan.

Untuk mengetahui sama ada pilihan kita adalah pilihan terbaik atau sebaliknya, wajar kita ketahui apakah maksud karya yang tidak berkualiti.

3 Jenis Karya yang Tidak Berkualiti

Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, terdapat 3 sindrom karya tidak berkualiti yang dialami oleh penulis. Sindrom-sindrom itu adalah:

  • Penulis tidak berpuas hati dengan karyanya tanpa sebarang sebab.
  • Karya penulis terlalu pendek dan ringkas.
  • Karya yang kosong pengisiannya.

Jenis #1 – Tidak Berpuas Hati Tanpa Sebarang Sebab

Ini adalah konflik yang berlaku dalam diri penulis. Mereka secara tiba-tiba tidak suka dengan karya yang dihasilkan. Walaupun ia telah mengambil masa yang lama untuk menghasilkannya.

Karya itu tetap gagal di mata penulis. Walaupun menerima bertubi-tubi pujian daripada pembaca.

Penyelesaian untuk masalah jenis pertama ini? Tiada.

Melainkan si penulis itu sedar tentang keindahan dan keistimewaan karyanya setiap masa.

Jenis #2 – Terlalu Pendek dan Ringkas

Konflik ini berlaku apabila penulis itu cenderung menghasilkan artikel yang panjang lebar secara konsisten. Tiba-tiba pada satu hari, karya yang dihasilkan terlalu pendek dan ringkas. Secara tidak langsung, menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap diri penulis itu.

Dari sudut pembaca, karya yang pendek dan ringkas tidak menjadi masalah. Asalkan ia membawa mesej yang bermanfaat dan jelas.

Tetapi berbeza dari sudut penulis. Mereka akan sedikit pelik, malah tidak berpuas hati apabila karya yang dihasilkan itu tiba-tiba berbeza dengan kebiasannya.

Jalan penyelesaian untuk masalah jenis ini?

Penulis perlu fleksibel. Karya yang panjang atau pendek bukan soalnya. Matlamat utama karya dihasilkan adalah untuk menjawab persoalan yang bermain di fikiran pembaca kita, dengan bahasa yang jelas dan mudah difahami.

Panjang atau pendek, itu terpulang. Tidak ada masalah.

Jenis #3 – Karya yang Kosong Pengisiannya

“Aku rasa artikel ini macam kosong, tiada manfaat kepada pembaca.”

Soalan ini pernah bermain dalam fikiran saya dalam peringkat awal pembabitan sebagai penulis bebas. Ketika itu, setiap kali karya berjaya disiapkan, rasa tidak puas hati itu sentiasa bermain di jiwa.

Kata hati, karya ini seperti mati.

Seperti tiada pengisian terhadap pembaca, seperti ada sesuatu yang tidak cukup.

Tidak cukup untuk memuaskan hati sendiri sebenarnya, bukan pembaca.

Apabila bertemu dengan orang yang betul, yakni mentor penulisan. Kata mereka, situasi ini adalah perkara biasa. Saranan mereka, terbitkan sahaja karya itu, dan belajar untuk memperbaikinya dalam karya yang akan datang.

Solusinya? Terbitkan sahaja karya itu pada medium yang kita mahu.

Blog? Majalah? Akhbar? Buku? Terbitkan sahaja. Kemudian dalam karya seterusnya, belajar untuk memperbanyakkan pengisian.

Jangan kerana tidak berpuas hati, karya berhenti, penulis pun mati.

Mati dengan pilihan sendiri. Ya, membunuh diri.

Perjalanan sebagai penulis bebas yang menjana pendapatan sepenuh masa menerusi karya-karyanya adalah mencabar. Cabarannya sama seperti usahawan yang ingin membina empayar perniagaannya.

Bezanya, kita hanya menggunakan kos akal fikiran kurnia Tuhan. Justeru itu, hargai kemampuan minda kita untuk berfikir, bagi memandaikan bangsa.

Semoga berjaya, salam jutawan penulisan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *