Web Analytics

Proton dan Perodua Bergabung?

Syarikat automotif negara iaitu Proton seringkali mendapat perhatian yang besar daripada rakyat dan kepimpinan negara. Proton adalah lambang kejayaan Malaysia dalam meneroka industri berat yang sebelum ini kelihatan amat mustahil dilakukan oleh sebuah negara membangun seperti Malaysia. Namun demi membuktikan bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara perindustrian dengan mengambil jejak langkah serta kejayaan negara Jepun, maka lahirlah Proton yang menjadi kebanggaan di seluruh negara. Semangat patriotik yang dibawakan Proton bukan calang-calang sehingga timbul persepsi bahawa semangat patriotik yang kuat telah mendorong rakyat Malaysia membeli kereta buatan Proton walaupun diakui kualiti dan teknologinya berbanding pesaing dari negara luar begitu melebar luas.

proton perodua
proton perodua

Apa saja perkara mengenai Proton pasti akan menimbulkan reaksi yang bercampur-baur dari segenap lapisan masyarakat sehinggalah melangkaui kepimpinan negara. Adakalanya isu Proton menyentuh sensitiviti parti-parti politik di negara kita. Begitu kuatnya peranan Proton yang telah menyentuh hati kebanyakan rakyat Malaysia dan ramai yang menaruh harapan supaya syarikat automotif pertama negara itu kekal sebagai entiti negara seratus peratus tanpa berpindah tangan kepada pihak luar. Melihat kepada pendapat umum sejak kebelakangan ini, Proton seharusnya kekal menjadi hak milik negara tanpa tergadai kepada mana-mana syarikat automotif dari luar negara walaupun trend dalam dunia automotif ketika ini mengatakan perkara tersebut sukar untuk dilaksanakan.

Dalam dunia automotif yang begitu kuat persaingannya, hanya yang kuat dan berdaya saing sahaja akan mampu kekal lama. Kos menghasilkan sesebuah kenderaan dengan teknologi moden dan terkini adalah terlalu tinggi dan seringkali mencecah ratusan juta ringgit hanya bagi menghasilkan sebuah model prototype sebelum dapat dijual. Dengan melihat kepada keupayaan Proton yang mencatatkan angka jualan kenderaan yang sedikit dan kuntungan yang tidak seberapa sejak beberapa tahun kebelakangan ini akhirnya telah menimbulkan pendapat bahawa Proton telah gagal untuk bersaing dalam arena automotif di masa kini.

Usia Proton yang telah melepasi 25 tahun dijadikan kayu ukur akan ketidak mampuannya dalam menghasilkan kenderaan yang berteknologi tinggi dan mengikut piawaian antarabangsa. Lambat laun Proton dikatakan perlu menjalinkan kerjasama atau usahasama dengan syarikat automotif luar yang lebih berkemampuan dalam menghasilkan model-model kenderaan baru di samping teknologi enjin yang terkini. Dengan cara itu bukan saja dapat memastikan Proton terus hidup tetapi juga dikatakan dapat menyelematkan Proton daripada kemungkinan muflis atau mencatatkan kerugian dalam jangka masa yang panjang, seterusnya akan membebankan kerajaan yang mempunyai pegangan saham majoriti dalam syarikat Proton.

Beberapa perbincangan dengan syarikat-syarikat automotif dari negara luar sebelum ini menemui jalan buntu walaupun beberapa siri perundingan diadakan dengan serius. Ada ketikanya Proton seakan-akan berjaya dalam perundingan untuk menjalin hubungan strategik dengan rakan kongsi dari luar, namun disebabkan beberapa perkara yang akan menyebabkan Proton kehilangan identitinya sebagai syarikat automotif negara, akhirnya Proton memutuskan tidak akan ada sebarang kerjasama strategik dengan mana-mana syarikat automotif dari negara luar setakat ini. Walaupun gagal mendapatkan rakan strategik yang sesuai, Proton kini menjalinkan semula hubungan dengan rakan automotif lamanya iaitu Mitsubishi.

Proton kini masih berdiri gagah sebagai sebuah syarikat automotif negara yang kelihatan selesa dengan hasil jualan kenderaan yang memuaskan di samping keuntungan yang agak memberansangkan, namun lambat laun Proton terpaksa menerima hakikat bahawa mereka tidak akan mampu selamanya berdiri tanpa sokongan daripada rakan strategik yang lebih berkemampuan. Kos menghasilkan kenderaan baru di samping kemampuan Proton yang agak lemah dalam menghasilkan enjin dan teknologi moden menyebabkan Proton terpaksa mencari alternatif lain untuk terus kekal bersaing.

Antara inisiatif terkini yang dilontarkan oleh Perdana Menteri Malaysia ialah cadangan supaya Proton bergabung dengan syarikat automotif kedua negara iaitu Perodua. Cadangan itu dikemukakan bagi kebaikan industri automotif negara di samping memperluaskan keupayaan kedua-dua syarikat tersebut untuk terus berdaya saing. Cadangan itu kelihatan menarik tetapi sehingga kini Proton dan Perodua masih tidak memberikan sebarang reaksi konkrit berhubung cadangan tersebut. Adalah sukar bagi Proton untuk menjalinkan kerjasama dengan Perodua walaupun perkara tersebut tidak mustahil akan menjadi realiti pada masa hadapan.

Perodua seperti diketahui umum merupakan sebuah syarikat automotif tempatan yang mempunyai rentak yang berbeza dengan Proton. Agak keterlaluan jika mengatakan Perodua adalah syarikat milik Daihatsu yang kebanyakan saham majoritinya dimiliki oleh syarikat automotif gergasi Toyota. Perodua tidak memiliki R & D dalam menghasilkan kenderaannya sendiri berbanding Proton yang telah berjaya menghasilkan kenderaan sendiri. Tidak dapat dipastikan jika penggabungan tersebut berjaya adakah Proton atau Perodua yang akan lebih mendapat manfaatnya?

Banyak pihak yang telah menyokong cadangan penggabungan Proton dan Perodua sebagai syarikat automotif tunggal negara. Kebanyakan rakyat Malaysia tidak membantah usaha tersebut kerana selain Proton, Perodua juga merupakan sebuah syarikat automotif negara yang berjaya menambat hati rakyat Malaysia dengan barisan model kenderaannya yang popular. Namun masih ramai yang tidak menyedari bahawa cadangan tersebut kelihatan hanya untuk menyelamatkan masa depan Proton berbanding Perodua yang ketika ini berada dalam keadaan selesa.

Jika penggabungan tersebut berjaya menjadi realiti atas desakan kerajaan, berjayakah Proton dan Perodua menjadi sebuah syarikat automotif terbesar di negara kita? Apa yang masih belum diketahui kini ialah berkenaan peranan syarikat Daihatsu dan Toyota dalam menghasilkan kenderaan kepada Perodua selepas penggabungan tersebut. Tanpa Daihatsu dan Toyota bermakna Perodua tidak akan ke mana-mana. Persoalannya kini ialah adakah Perodua akan bersetuju dengan cadangan penggabungan tersebut jika Daihatsu dan Toyota menolak? Ketika ini Perodua tidak menghadapi sebarang masalah kerana Daihatsu dan Toyota adalah rakan strategik mereka dalam erti kata sebenar. Sebenarnya Perodua tidak memerlukan Proton untuk terus bersaing, hanya Proton yang masih tercari-cari rakan strategik yang sesuai sama ada melalui penggabungan ataupun usahasama secara teknikal.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *