Hobi sebenarnya adalah aktiviti yang kita lakukan di waktu kita bersantai untuk mengisi masa lapang kita. Ia tidak kira sama ada waktu itu anda sedang bercuti atau memang tak ada kerja nak buat.
Hobi boleh menjadi satu aktiviti yang berfaedah atau sekadar untuk melepaskan penat setelah bekerja setiap hari. Ada orang lebih suka berehat menikmati keindahan alam yang menghijau namun ramai juga yang menggunakan masa tersebut menjalani aktiviti yang mampu memberikan ketenangan dan kebaikan kepada minda dan kesihatan badan mereka.
Adakah anda mempunyai hobi?
Kebiasaannya masa cuti hujung minggu anda biasanya habiskan untuk apa? Adakah anda habiskan masa untuk tidur, beriadah, berjogging atau bersenam?
Atau anda sebenarnya tak tahu apa nak buat di hujung minggu dan duduk termenung buat seluruh hari. Kalau anda dah berumah tangga, maka masa ini mungkin digunakan oleh anda untuk mengemas rumah, mencuci kereta, membeli belah atau pulang ke kampung untuk menziarahi ibu bapa.
Anda terfikir untuk ada hobi?
Ya mungkin anda hendak larikan diri dari situasi di mana anda sering sibuk bekerja setiap hari. Anda mungkin memikirkan untuk melakukan satu aktiviti lain yang boleh memberi sesuatu yang berlainan kepada fikiran anda.
Dengan adanya hobi yang baru, maksudnya anda boleh cuba untuk larikan diri dari hakikat bekerja setiap hari. Tapi kemungkinan akhirnya anda tenggelam dalam memikirkan apa yang henda anda lakukan. Berikut di paparkan beberapa petua untuk memilih hobi yang sesuai untuk anda:
1. Fikirkan satu hobi yang anda sebenarnya minat untuk lakukannya dan anda dapat menyeronokkan diri apabila lakukan hobi itu. Boleh anda fikirkan satu hobi yang tidak memerlukan anda belanja wang yang banyak untuk memulakannya. Contoh hobi adalah seperti memancing, berkebun, bersukan, jogging, baca buku, dan sebagainya.
2. Sekiranya anda suka kumpul barang, boleh anda fikirkan untuk mengumpul barang-barang koleksi seperti patung kecil, cenderahati, setem, wang syiling lama, keratan akhbar mungkin boleh menjadikan diri anda pengumpun yang hebat.
3. Seni lukis mungkin menjadi satu aktiviti yang menarik. Buat lawatan ke muzium atau geleri seni dan perhatikan bagaimana mereka mencampurkan warna-warna seperti warna akrilik menjadikan ia sebuah lukisan yang amat cantik dan menarik.
Lepas tu, boleh anda balik ke rumah anda sendiri dan mulakan untuk lukis dan fikirkan cara untuk meningkatkan kemahiran anda dalam seni lukis.
4. Tulis novel atau cerita pendek. Ramai penulis novel terkenal sebenarnya bermula dengan penulisan cerita pendek sebagai aktiviti sampingan yang menjadi hobi mereka dimasa lapang. Akhirnya apabila setiap cerita mereka mendapat sambutan dipasaran maka mereka akan mengembangkan bakat mereka sebagai penulis novel.
Sekiranya anda bukan suka sangat tulis novel atau cerita, boleh juga anda tulis blog. Boleh anda tulis apa saja yang berlaku harian dalam kehidupan anda ke dalam blog dan ia boleh jadikan satu kenangan yang baik.
5. Sukan sebagai satu nikmat. Ya bersukan dengan sukan yang anda minat seperti golf, badminton, berkayak dan lain-lain lagi dapat memberikan kebaikan kepada kesihatan anda.
6. Kepada mereka yang sukakan bidang elektronik mungkin boleh mencuba pelbagai teknik dan konfigurasi didalam membina sebuah komputer, sistem audio, atau membina semula sebuah peralatan lama yang sudah ditinggalkan.
7. Aktiviti di luar rumah juga berfaedah kepada anda seperti memancing, mendaki bukit atau gunung, water skiing, kamping dan berbasikal.
8. Aktiviti didalam rumah seperti bermain monopoli, kad, puzzle dan lain-lain lagi.
9. Pertukangan kayu. Ya bagi mereka yang mempunyai minat didalam pertukangan mungkin boleh mencuba hobi bertukang, mengukir kayu dan sebagainya.
10. Mengumpul model-model miniatur kecil.
Hobi sebenarnya berfaedah kepada kita jika kita tahu mengawal dan menguruskan keadaan dan masa. Ada orang yang apabila telah mencuba sesuatu hobi maka beliau tetap asyik dengan hobinya itu sehingga beliau tidak memperdulikan orang lain lagi. Itu sudah dikira melebih dan tidak baik kerena kesannya amat buruk sekali kepada anda dan keluarga.
Apakah hobi memerlukan kebenaran?
Ya, jika anda hendak melakukan sesuatu hobi maka sebenarnya anda perlulah mendapatkan kebenaran dari samada ibu bapa, isteri atau suami yang bertanggung jawab keatas anda. Jika tidak ia adalah amat tidak baik sekali dan tidak digalakkan. Contohnya jika anda suka memancing. Jika anda tidak meminta kebenaran atau tidak memberitahu akan pasangan anda untuk keluar memancing, kemungkinan besar anda tidak akan mendapat walaupun seekor ikan pun kelak.
Apapun aktiviti yang hendak anda lakukan yang menjadi hobi anda maka janganlah terlalu taksub dengannya. Lakukan kajian mendalam supaya anda tahu apa yang hendak anda lakukan itu. Berbelanjalah secara berhemah supaya setiap sen yang anda belanja itu sebenarnya setimpal dengan usaha yang dicurahkan oleh anda sendiri.