Web Analytics

Peluang Sebenar Pemain Industri Kreatif Malaysia

Bercakap mengenai kursus berkaitan dengan teknologi maklumat di Universiti, masyarakat akan melabelkan pelajar atau graduan itu sebagai seorang juru-pengaturcara (programmer) yang tugasnya sentiasa mengawal selia sistem-sistem tadbir urus sesebuah organisasi tidak kira besar ataupun sederhana.

android apple

Saya tertarik untuk berkongsi sedikit sebanyak mengenai isu ini kepada pembaca blog yang budiman semua kerana saya juga daripada aliran yang sama; seorang pelajar jurusan Teknologi Maklumat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dan, saya pernah dilontarkan kata-kata begini suatu ketika dahulu oleh seorang pesara kerajaan:

 

Saya tidak bercadang untuk memberi komen dan pendapat peribadi saya ketika itu kerana kami masing-masing mengejar urusan masing-masing dan kami hanya berborak sewaktu menunggu tren LRT masing-masing tiba.

Dunia berkaitan dengan teknologi sangat luas dan pelbagai cabangnya. Ya, mungkin beliau hanya berfikir bahawa kami ini semuanya akan keluar dan merebut jawatan yang sama. Hakikatnya, kami semua akan keluar dengan matlamat masing-masing dan tidak semuanya akan menjadi programmer seperti ramai daripada kita sangkakan.

Bidang Kreatif – Sumber Luas Terbentang

Baiklah, kita berhenti berbicara mengenai kerjaya seorang programmer di sini. Fokus entri ini adalah untuk saya berkongsi sedikit sebanyak pengalaman dan ilmu yang saya perolehi semasa mengikuti lawatan bersama rakan-rakan sekuliah ke Malaysia Animation Creative Content (MaC3) dan Rhythm & Hues Studios di Cyberjaya baru-baru ini.

Sedikit info mengenai MaC3, ianya adalah satu sub-agensi dibawah projek MSC dan diselia oleh MDeC. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya dalam memberi bimbingan yang khusus (mentorship) kepada rakyat Malaysia yang mempunyai idea berkaitan projek kreatif seperti pembangunan aplikasi telefon pintar, dunia animasi, dan kandungan kreatif (creative content) yang kurang pengalaman dan sumber kewangan untuk bermula.

Di sinilah bakat-bakat baru di dalam industri di latih dan di bimbing untuk berjaya dalam projek masing-masing. Kami difahamkan, untuk sesebuah kumpulan berada di sini, mereka harus lulus satu pertandingan di mana pada pertandingan tersebut, mereka harus membentangkan idea projek mereka untuk dinilai oleh para juri berpengalaman di dalam industri.

Daripada keputusan yang dikeluarkan, pihak MaC3 akan mengagihkan dana kepada kumpulan-kumpulan yang layak ini untuk bermula dan perjalanan sebuah ‘karya’ hasil sentuhan anak tempatan yang kita lihat di kaca televisyen sekarang sebenarnya bermula di sini.

Tiada Pejabat, Tiada Masalah

Antara perkara menarik yang sangat membuat saya teruja adalah, pihak MaC3 menyediakan satu ruang kerja khas (incubator).

Dengan bayaran serendah RM50 sebulan, mereka ini boleh menggunakan semua fasiliti yang ada di kawasan tersebut termasuklah set komputer, bilik mesyuarat, pantri, bilik audio dan rakaman, render farm, set permainan video seperti PS3 dan Wii untuk tujuan penilaian dan uji cuba permainan yang sedang dibangunkan tanpa had.

Bagi seorang ‘artis’, sudah semestinya ruang kerja yang selesa dan kondusif adalah keutamaan untuk berkarya. Selain sistem yang hebat seperti yang telah tersedia, ruang kerja ini juga boleh dipilih dan mereka boleh duduk secara berkumpulan sehinggalah projek yang dirancang itu siap.

Teknologi Bertaraf Dunia – Lengkap

Kami cukup bertuah ketika itu kerana di bilik audio dan rakaman (saya lupa nama spesifik bilik ini), team BoBoiBoy baru sahaja selesai melakukan rakaman suara untuk episod akan datang. Kami sempat melihat bagaimana proses suntingan secara langsung diadakan oleh krew yang bertugas. Ternyata, setiap kemudahan yang tersedia cukup lengkap dan boleh dikatakan bertaraf dunia.

Peluang Masih Ada – Semakin Luas

Ternyata apa yang bermain di dalam fikiran saya dan rakan-rakan sebelum ini silap. Rupa-rupanya kita ada kemudahan secanggih ini di tempat sendiri. Mungkin ianya kurang dihebahkan menyebabkan kita tidak tahu.

Buat sahabat seperjuangan semua, peluang kita untuk membawa Malaysia di dalam industri ini masih luas. Usah risau dan teruskan perjalanan. Ingat, kita sudah buat pilihan dan kita tidak silap. Mereka yang silap dan mereka memang suka lihat kita terus dalam keadaan curiga.

Jangan Pandang Rendah Kepada Kami

Kepada pembaca blog yang budiman, terima kasih kerana membaca entri ini hingga ke baris ini. Semoga sedikit perkongsian ini boleh membuka fikiran kita bersama tentang potensi dan peluang sebenar anak muda tanah air yang bercita-cita tinggi mahu melahirkan karya sendiri dan menembusi pasaran antarabangsa seperti tim Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. yang telah menembusi pasaran dunia dengan filem animasi ‘Geng Pengembaraan Bermula’ sebelum ini.

Update:

Kepada sahabat-sahabat yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai fasiliti yang disediakan oleh pihak MaC3 seperti kadar bayaran, waktu penggunaan atau bantuan dana yang diperkatakan, anda boleh hubungi pihak MaC3 melalui Facebook Page mereka. Bagi anda yang mahu melihat keputusan pertandingan yang diperkatakan di atas, sila rujuk di sini (keputusan pada tahun 2009 sahaja dijumpai setakat ini).

Tempoh maksimum penggunaan ruang kerja khas (incubator) adalah 2 tahun sahaja. Selepas daripada tempoh ini, pihak MaC3 akan membuka ruang untuk kumpulan-kumpulan baharu untuk menggunakannya pula.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *