Web Analytics

Lawatan ke Tempat Menarik Di Melaka

Pada Dec 2017 yang lepas berlansungnya lawatan selama satu hari ke tempat menarik di negeri Melaka bersama dengan My Tour Club iaitu sebuah pertubuhan yang pada asalnya hanya aktif di laman sosial Facebook dan kini telah ditubuhkan sebagai sebuah syarikat untuk membantu pemandu pelancong (Tourist Guides) berlesen di dalam Malaysia membina rangkaian dan bertukar-tukar pendapat serta pengalaman bagi membantu pemandu pelancong yang lain terutamanya yang baru berkecimpung di dalam dunia pemandu pelancong.

Lawatan selama satu hari ke tempat menarik di Melaka anjuran MY Tour Club ini diadakan untuk memberi peluang kepada pemandu pelancong mendapatkan lebih maklumat mengenai produk pelancongan yang ada di dalam Malaysia sebagai produk yang boleh diperkenalkan kepada pelancong luar dan masyarakat tempatan.

tempat menarik di melaka

Lawatan selama sehari ini disertai oleh 29 pemandu pelancong berlesen dari sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Selangor serta wakil media dari Majalah Santai Travel. Lawatan ke negeri Melaka ini juga ditaja sepenuhnya oleh Kejuruteraan Asas Jaya (KAJ) KAJ Development Sdn Bhd, Tourism Malaysia Melaka dan Bahagian Domestik Putrajaya.

Melaka Bird Park

melaka bird park

Kami memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke negeri Melaka dan perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 2 jam untuk tiba di Ayer Keroh Melaka. Kami tiba di Lokasi pertama yang kami akan lawati iaitu Melaka Bird Park. Ketibaan kami telah disambut mesra oleh kakitangan Kejuruteraan Asas Jaya (KAJ) di Melaka Bird Park.

melaka bird park 2

Kakitangan KAJ menerangkan burung yang baru dibawa kesini perlu dibiasakan kepada tempat baru sebelum dibiarkan bebas berterbangan bersama burung-burung lain.

Kami dipahamkan Melaka Bird Park ini baru sahaja dibuka kepada umum dan ia merupakan tarikan terbaru yang ada di negeri Melaka yang boleh dikunjungi oleh masyarakat tempatan dan pelancong luar.

melaka bird park 3

Melaka Bird Park ini menempatkan 400 ekor burung iaitu 24 spesis burung dari dalam negara dan luar negara dalam satu tempat. Dengan menggunakan konsep pendekatan secara terbuka, Melaka Bird Park menawarkan kepada pengunjung untuk melihat sendiri burung-burung ini dengan lebih dekat di dalam suasana yang lebih terbuka.

Melaka Wonderland Theme Park & Resort

melaka wonderland

Setelah puas meninjau seluruh kawasan dan mengambil gambar burung di Melaka Bird Park kami meneruskan lawatan ke lokasi kedua iaitu di Melaka Wonderland Theme park & Resort yang lokasinya terletak bersebelahan dengan Melaka Bird Park.

melaka theme park

Melaka Wonderland Theme Park & Resort adalah sebuah taman tema yang menyediakan pelbagai permainan berasaskan air dimana ia menyediakan pelbagai tarikan antaranya Big Wave pool, Adventure Island, Tornado Chaser dan Lazy cum Crazy River untuk pengunjung yang ingin meluangkan masa bersama ahli keluarga dan rakan-rakan. Di Melaka Wonderland Theme Park & Resort ini juga seringkali dijadikan lokasi sebagai tempat untuk sambutan hari keluarga, karnival dan pelbagai lagi.

melaka water park

Cafe Botanikal

cafe botanika

Setelah penat berjalan-jalan di Melaka Wonderland Theme Park & Resort kami telah dibawa ke Cafe Botanikal untuk makan tengah hari sebelum meneruskan lagi lawatan ke lokasi lain. Cafe Botanikal menyediakan pelbagai hidangan masakan tempatan dan barat. Disini pengunjung boleh menjamu selera selepas penat mengunjungi Melaka Bird Park dan Melaka Wonderland Theme Park & Resort. Antara masakan yang popular disini adalah masak asam pedas iaitu masakan yang popular di negeri Melaka.

cafe botanikal 2

Cafe Botanikal terletak berhampiran dengan Galeri Lebah yang tidak jauh dari Melaka Bird Park dan Melaka Wonderland Theme Park & Resort. Dengan dekorasi yang menarik dan berhawa dingin, Cafe Botanikal menyediakan ruang makan yang selesa untuk pengunjungnya. Cafe Botanikal ini juga boleh memuatkan hampir 150 orang pengunjung dalam satu masa.

Zoo Melaka & Night Safari

zoo melaka

Selesai sahaja makan tengah hari di Cafe Botanikal, kami meneruskan lagi lawatan. Lokasi yang seterusnya ialah Zoo Melaka & Night Safari. Selain dari Zoo Taiping & Night Safari, Melaka juga mempunyai Night Safari yang dibuka pada pengunjung dimana pengunjung boleh melihat haiwan-haiwan yang aktif pada waktu malam. Untuk lawatan ini kami tidak dapat merasai pengalaman Night Safari kerana tidak ada di dalam jadual lawatan.

gajah melaka

Kami telah dibawa melawat seluruh kawasan Zoo Melaka dan diberi sedikit keterangan mengenai Zoo Melaka ini oleh kakitangan KAJ. Setelah selesai melawat seluruh kawasan Zoo Melaka, kami kemudiannya dibawa untuk melihat pertunjukan burung yang dilakukan oleh kakitangan Zoo Melaka.

persembahan zoo melaka

burung kakak
Saya pernah pergi kesini sekali kalau tak silap saya pada tahun 2015 tetapi tidak berpeluang untuk melihat pertunjukan di Zoo Melaka ini. Jadi ini merupakan pengalaman pertama saya melihat pertunjukan burung. Agak menarik juga pertunjukan yang dipertontonkan kepada kami semua lebih-lebih lagi dengan kebijaksanaan burung kakak tua yang amat boleh mengira kira-kira yang diajukan oleh pengujung, mengutip sampah dan memasukan bola ke dalam jaring.

Melaka Gateway

Setelah selesai melawat seluruh kawasan Zoo Melaka & Night Safari, kami meneruskan lawatan ke lokasi seterusnya. Agak jauh sikit dari Ayer Keroh, kami ke kawasan bandar. Untuk lawatan seterusnya ini kami ke Melaka Gateway iaitu sebuah tarikan baru di Melaka yang akan dibuka sepenuhnya pada tahun 2024 dengan menelan kos sebanyak RM40 billion setelah disiapkan. Ia juga akan dibuka kepada orang ramai secara berperingkat.

melaka gateway

Kami dipahamkan ketika ini Melaka Gateway masih lagi didalam proses tambakan air laut dan akan dijadikan sebagai tarikan pelancong pada masa akan datang sebagai pulau buatan manusia terbesar di Asia Tenggara. Apa yang menariknya dengan Melaka Gateway ini ialah ia akan dibuka sebagai tempat persinggahan kapal-kapal mewah dari seluruh negara. Ia juga akan dibuka sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan marina dengan pelbagai kemudahan seperti monorail, hotel bertaraf 7 bintang, taman tema, pusat membeli belah dan sebagainya. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Melaka Gateway anda boleh layari laman rasmi Melaka Gateway.

Melaka Wildlife Theatre

melaka wildlife center

Walaupun penat sehari suntuk melawat negeri Melaka, lawatan kami tidak berhenti setakat itu sahaja. Kami seterusnya dibawa ke Melaka Wildlife Theatre yang terletak tidak jauh dari pejabat Melaka Gateway. Melaka Wildlife Theatre juga merupakan tarikan terbaru yang ada di negeri Melaka.

sea lion

Apa yang menariknya Melaka Wildlife Theatre adalah pertunjukan singa laut (Sea Lion). Pertunjukan singa laut ini jarang ada di dalam Malaysia dan kami dipahamkan juga singa laut ini baru sahaja 6 bulan berada di Malaysia. Agak teruja dengan pertujukan yang disediakan. Maklumlah baru pertama kali tengok singa laut di depan mata.

Selain daripada pertunjukan singa laut Melaka Wildlife Theatre juga mengadakan pertunjukan haiwan-haiwan lain seperti burung, ular dan lain-lain yang pasti menarik perhatian pengunjung yang datang kesini.

Bistro 1673

Setelah puas menikmati pertunjukan singa laut dan bergambar dengan ular kami terus ke Lokasi yang terakhir untuk lawatan sehari ke negeri Melaka anjuran MY Tour Club ini iaitu ke Bistro 1673 yang terletak di Jonker Walk, Melaka untuk makan malam. Bistro 1673 merupakan banggunan yang tertua di Jonker Walk yang telah dibina pada tahun 1673 dan merupakan salah satu banggunan bersejarah yang ada di negeri Melaka.

bistro 1673

Bistro 1673 memberikan pengalaman menjamu selera yang berlainan dengan restoran-restoran lain dimana disini anda dapat menjamu selera sambil menikmati pelbagai barangan antik tinggalan sejarah beratus tahun lamanya. Bistro 1673 juga menyediakan pelbagai juadah makanan dari masakan barat, masakan cina, masakan belanda dan banyak lagi untuk pelanggan yang datang kesini.

Pengalaman Pertama Yang Tidak Dapat Dilupakan

Untuk lawatan ini, ia merupakan lawatan pertama yang saya sertai bersama MY Tour Club dan selalunya kita lihat pemandu pelancong membawa pelancong tetapi kali ini pemandu pelancong dibawa untuk melawat tempat-tempat pelancongan yang menarik ada di Melaka dan keseluruhan Malaysia.

Sepanjang satu hari bersama MY Tour Club dan pemandu pelancong seramai 29 orang ini juga, pelbagai cerita dan pengalaman yang diceritakan kepada saya. Ternyata tugas sebagai pemandu pelancong bukanlah mudah seperti yang disangka. Memang seronok membawa pelancong terutamanya pelancong luar melawat tempat-tempat menarik di Malaysia tetapi pemandu pelancong juga perlu mempunyai pengetahuan yang luas mengenai tempat yang dilawati dan yang paling penting pemandu pelancong perlu memainkan peranan dalam menceritakan sejarah dan budaya yang ada di Malaysia kepada pelancong luar.

Semoga lawatan-lawatan ini dapat diteruskan sampai bila-bila kerana anyak bahan maklumat yang boleh digunakan oleh pemandu pelancong untuk memperkenalkan produk-produk pelancongan yang ada di Malaysia kepada pelancong luar.

Baca juga:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *