Sama ada anda seorang yang berkedudukan tinggi atau pekerja bawahan, anda tetap manusia biasa yang tidak dapat lari dari masalah dan tekanan untuk kehidupan harian anda.
Untuk mendapatkan kehidupan yang seimbang, kita sentiasa perlukan inspirasi, motivasi dan aktiviti yang boleh membantu untuk menghilangkan tekanan dan masalah yang kita hadapi.
Apabila kita pergi bekerja di tempat kerja kita, mesti sentiasa ada cabaran dan gangguan. Ada orang yang membantu anda dan mungkin ada orang yang tidak sekepala dan sering memberi masalah kepada anda.
Mana-mana tempat bekerja mesti ada politik tempat kerja, tekanan, beban kerja atau apa sahaja yang perlu anda hadapi.
Jadi anda perlu fikirkan cara-cara yang terbaik untuk menjadikan diri lebih produktif. Bagaimana inspirasikan diri dan menghilangkan tekanan di tempat kerja dan dalam kehidupan jadi sesuatu yang amat penting untuk anda buat dari semasa ke semasa.
Banyakkan Membaca
Membaca adalah satu tabiat yang boleh memberi inspirasi dan motivasi. Saya memang suka membaca tak kira dalam bentuk buku, surat khabar atau internet.
Dengan membaca ianya boleh memberi inspirasi kepada diri kita dan mengubah cara kita berfikir. Informasi yang kita dapat semakin meluas.
Sebagai blogger, anda juga boleh mendapat ilham dari membaca. Boleh saya katakan membaca adalah inspirasi yang mempunyai kesan yang mendalam.
Kesimpulannya… membaca boleh membuat minda kita lebih terbuka.
Menulis Blog Atau Buku
Membaca boleh menjadi sangat berharga, tetapi menulis memerlukan pemikiran yang lebih, dan oleh itu ia boleh menjadi lebih berharga.
Menulis tentang sesuatu yang anda minati. Contoh menulis tentang bagaimana untuk menyelesaikan masalah, artikel mengenai perniagaan, perkongsian dan sebagainya.
Banyak topik yang boleh anda tulis. Dengan menulis juga boleh menajamkan otak kita.
Ada kajian menyatakan dengan membaca dan menulis boleh membuat daya ingatan seseorang itu menjadi lebih kuat dan tidak pelupa. Ia antara aktiviti yang amat positif.
Semakin banyak anda menulis, semakin berkembang otak kita dan sedikit demi sedikit akan menjadi penulis yang baik.
Melakukan Senaman
Apabila terlalu banyak tekanan, sekaligus boleh mengakibatkan otak dan badan kita keletihan. Ini boleh mengundang penyakit tekanan darah tinggi atau rendah.
Organ dalam badan kita haruslah berjalan dengan baik. Cara mudah untuk mengurangkan tekanan adalah dengan bersenam.
Ambil waktu anda melakukan senaman ringan seperti berjalan atau berlari.
Terdapat dua kelebihan bersenam ni…
Pertama, ia sihat untuk badan anda.
Kedua, ia memaksa anda untuk berhenti berfikir seketika tentang gangguan atau tekanan yang anda hadapi.
Dengan bersenam juga boleh membakar kalori dan melancarkan fikiran dengan membina idea-idea baru dan inspirasi.
Membuat Kebaikkan
Sebagai orang Islam, Melayu boleh membuat kebaikkan dengan banyakkan bersedekah dan membantu orang. Walaupun dengan jumlah yang kecil dan tidak kira dimana sahaja.
Saya pasti anda semua pernah melihat orang meminta sedekah di restoran atau kedai makan.
Kadang-kadang bukan satu dua yang datang meminta sedekah. Banyak yang berfikiran mereka itu mengambil kesempatan atau sindiket.
Saya sedikit tidak bersetuju. Jangan fikirkan apa tujuan mereka meminta sedekah. Jika anda niat bersedekah, biarlah dengan hati yang ikhlas tanpa rasa was-was.
Biar apapun tujuan mereka, bukan hak kita untuk menghukum, mengata baik atau tidak.
Amalan bersedekah adalah amalan yang mulia. InsyaAllah akan makin murah rezeki kita lagi dan jiwa kita akan lebih tenang dan bersih.
Yang menakjubkan adalah dengan banyak bersedekah kita tidak akan menjadi seorang yang mementingkan diri sendiri dan kita akan rasa sungguh puas dan sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada.
Membaca Kata-kata Yang Memberi Inspirasi
Kadang-kadang anda mungkin tidak mempunyai masa untuk membaca buku atau menulis.
Cara lain anda boleh membaca kata-kata yang berinspirasi daripada pemimpin yang hebat, penulis kegemaran anda atau mereka yang telah berjaya.
Teknologi maklumat sekarang semakin canggih. Search sahaja Google, dengan mudah anda dapat mencari Quote yang boleh memberikan inspirasi tetapi bukan sekadar membaca sahaja, anda dalami setiap kata-kata inspirasi itu.
Mendengar Muzik Dan Menonton
Muzik merupakan satu cara untuk menenangkan fikiran dan jiwa. Ada yang melepaskan tekanan dengan mendengar muzik yang kuat dan keras, ada yang suka berbentuk perlahan.
Menonton juga boleh memberi inspirasi, menaikkan semangat dan melupakan seketika masalah atau tekanan yang anda hadapi dan meningkatkan mood kita.
Dan… Jangan lupa, sentiasalah berdoa KepadaNya.
Kesimpulannya
Saya banyak mengamalkan cara-cara diatas apabila saya rasa tertekan dan mempunyai masalah.
Hasilnya sedikit sebanyak memberi Inspirasi, Motivasi Dan Menghilangkan Tekanan. Ia mampu menceriakan saya dan dapat melupakan seketika masalah yang saya hadapi.
Lain orang lain caranya. Lakukan mengikut keselesaan anda. Mungkin apa yang saya kongsikan berguna untuk anda semua.