Facebook merupakan laman sosial yang paling popular di Malaysia. Populariti Facebook setiap hari semakin terserlah terutama dalam kalangan remaja. Hampir semua orang yang tahu menggunakan komputer memiliki akaun media sosial tersebut.
Aku juga pengguna Facebook tetapi untuk berkomunikasi dengan keluarga dan teman-teman bila perlu. Dan dengannya lah aku berjaya merapatkan kembali hubungan dengan sanak saudara yang tinggal berjauhan.
Facebook boleh diibaratkan seperti pisau kalau diguna untuk baik maka baiklah hasilnya tetapi jika digunakan untuk buruk maka buruklah hasilnya. Terpulang kepada kita untuk menggunakan pisau itu untuk mengupas kulit buah ataupun melukakan kulit manusia.
Ruangan status yang disediakan di Facebook disediakan untuk penggunanya menerbitkan apa yang terlintas di fikiran mereka. Ya, maksud perkataan “What’s on your mind?” itu memang bermakna “apa yang anda fikirkan”. Dan hampir semua pengguna benar-benar kongsikan SEGALA PERKARA yang mereka FIKIRKAN di status mereka.
Malangnya kotak ruangan status ini tiada penapis. NO FILTER! Jadi apa saja yang ditulis pemilik akaun, maka akan terus tersiar di suapan Facebook. Tidak kira lah pengisiannya yang negatif ataupun positif. Semuanya dikongsi di situ.
Hari ini, rata-rata perkara yang sensasi pasti akan pantas tersiar di Facebook. Dek kerana penggunanya yang terdiri dari bermacam-macam orang maka berjuta lah ragamnya di dalam dunia maya itu.
Jika ada perkara yang bermanfaat, memang suatu yang bagus. Memandangkan sudah berbelas juta pengguna media sosial itu di negara kita ini. Sememangnya perkara yang bersifat ilmiah itu harus dikongsi. Harus diberi kepada semua orang. Memang tepat tagline “Hidupkan untuk Memberi” yang kita pernah baca.
Tapi pada perkara yang buruk, yang menyesatkan, yang boleh mencetus perasaan kurang enak – tak payahlah dikongsikan di Facebook. Sudah menjadi resmi, perkara buruk senang jadi tumpuan. Cepat jadi ikutan. Dengan pantas boleh jadi viral di serata negara.
Maka terlahirlah semua watak sama ada bertauliah dan tidak bertauliah. Timbullah pensyarah, doktor, peguam, cerdik pandai dan ramai lagi yang tidak bergaji. Ramai orang akan berlumba tunjuk mahir dalam semua perkara. Ulasan yang diberikan akan lebih daripada ilmu di dada. Cerita yang entah betul tidak dicanang serata negara. Semakin berkuranglah etika diri dan sifat kemanusiaan.
Padahal kita juga boleh fikir, status yang kita tulis di Facebook itu boleh mencerminkan keperibadian kita. Bayangkan kalau status yang kita kongsikan itu jadi bacaan ahli keluarga kita, bos, teman rapat, isteri atau sesiapa saja. Apakah yang mereka fikirkan tentang keperibadian kita.
Tegang urat leher bila aku baca status ni. Terus rasa panas telinga. Tahukah dia situasi yang benar-benar berlaku di tempat kejadian. Dia sendiri kah yang menguji kandungan darah si mati. Kenapa ulasannya mengalahkan hakim di mahkamah. Mana nilai murni yang harus kita bawa.
Kita tidak seharusnya lupa siapa diri kita yang sebenarnya. Kita masih lagi makhluk. Makhluk tidak layak memberi kejian sesama makhluk. Agama mengajar kita bahawa Islam itu agama kasih sayang. Sepatutnya kita beri penghormatan kepada orang lain.
Yang dimaksudkan dengan mengutuk ialah mendoakan orang lain agar mendapat kecelakaan. Mengutuk ini adalah satu perbuatan yang terlarang kita lakukan sesama muslim.
Hari ini juga negara dikejutkan dengan kematian seorang tokoh politik yang terkenal. Maka semakin menderu lah cerita tentangnya dicanang di Facebook. Ramai yang melahirkan simpati kepada keluarga mendiang. Tak kurang juga yang melemparkan kata -kata yang kurang enak.
Walaupun sebanyak mana penentangan kita terhadap individu ini, mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya bukanlah cara Islam. Kembalikanlah nilai-nilai murni yang dulu ada pada diri kita. Cukup-cukuplah bertanding di pentas maya menunjukkan siapa paling handal bercakap.
Melaknat salah satu orang kafir secara langsung (individu tertentu):
1. Jika telah ada nas yang menerangkan bahwa individu tersebut terlaknat atau dia akan mati dalam keadaan kafir maka boleh kita melaknatnya, seperti Iblis dan Fir’aun.
2. Kalau tidak yakin apakah individu tersebut telah mati dalam keadaan kafir maka dia tidak boleh dilaknat secara mutlaq, akan tetapi harus ada keterangannya, jadi kita katakan: semoga Allah melaknatnya jika dia meninggal dalam keadaan kafir.
3. Kalau orang kafir itu masih hidup maka tidak boleh melaknatnya (sama ada menyampai cerita atau mendoakan) kerana orang yang melaknat orang kafir yang masih hidup seakan tahu masa depan orang kafir tersebut yang jauh dari Rahmat Allah S.W.T. Siapa tahu Allah S.W.T memberinya hidayah dan merahmatinya pada masa yang akan datang.
Baca juga:
- Cara Padam Akaun Facebook
- Panduan Penggunaan Facebook dan Twitter Untuk Bloggers