Hari itu saya teringat satu posting menarik di sebuah blog milik rakan. Tidak pula saya bookmark atau simpan pautan kepada artikel itu di mana-mana. Terpaksalah saya pergi ke blog itu, (yang masih saya ingat domainnya) dan mencari artikel yang saya ingin baca kembali.
Bagaimana pula kalau blog itu bukan blog rakan saya, dan saya tidak ingat langsung alamat laman blognya? Pernah terjadi kepada anda? Kalau dahulu, sewaktu awal kenal dengan internet, fungsi bookmark di browserlah yang amat penting pada saya. Setiap kali format kembali komputer, itulah perkara pertama saya akan backup.
Alangkah mudahnya kalau ada satu program, apps atau apa sahaja yang boleh mengumpulkan semua blog yang saya minat baca di satu tempat. Setiap kali salah satu blog atau laman web itu dikemaskini, saya akan dimaklumkan. Kemudian saya diperkenalkan kepada The Old Reader.
Fungsi The Old Reader sebagai tempat mengumpul blog yang diikuti.
Setakat ini, saya merasakan The old Reader adalah satu aplikasi terbaik untuk tujuan ini. Dahulunya saya lebih gemar google reader, namun sejak google mengambil keputusan menamatkan khidmatnya, saya beralih kepada The Old Reader. Ianya sebuah aplikasi web yang tidak perlu diinstall di mana-mana peranti. Namun begitu, kita perlu menjadi pengguna berdaftar untuk menikmati khidmat ini. Pendaftaran ini sebenarnya mudah, sekiranya kita mempunyai akaun facebook atau akaun google, akaun tersebut boleh digunakan sebagai login ke laman ini tanpa perlu pendaftaran baharu.
Reka bentuk yang tidak serabut dan kemas menjadi tarikan utama saya menggunakan khidmat ini. Kita boleh lihat tiada iklan yang banyak dipaparkan. Sebaliknya sekali sekala kita akan diupdate dengan artikel yang dipilih berdasarkan kecenderungan minat bacaan kita. Perkara ini seakan-akan sama dengan promoted content jika di twitter. Selain dari itu, kita hanya akan disajikan dengan update terbaru dari blog atau laman web yang kita kehendaki sahaja.
Cara untuk memasukkan senarai blog yang kita ingin ikuti amatlah mudah. Perhatikan butang “Add A Subscription” di penjuru kiri di gambar di atas. Apabila butang itu ditekan, satu ruang untuk memasukkan alamat laman sesawang yang ingin kita ikuti terpapar. Masukkan sahaja link ke blog yang ingin kita ikuti di sini. Artikel terbaharu akan dipaparkan di ruang utama apabila ada kemaskini dilakukan.
Butang lain seperti starred, like, shared, dan trending memudahkan navigasi dan cara kita mengawal artikel yang terdapat dalam langganan kita. Biasanya artikel yang didapaprkan hanyalah sebagai snippet ataupun sebahagian dari perenggan pendahuluan artikel sahaja. Untuk membaca artikel penuh, kita perlu menekan pautan untuk di bawa ke laman asal artikel itu diterbitkan. Setakat mana artikel ini dipaparkan di dalam feed kita bergantung kepada tetapan pengendali asal blog terbabit.
Kegunaan The Old Reader kepada penulis blog.
Kegunaannya banyak. Apa yang bakal saya kongsikan hanyalah sedikit, dan yang lain saya biarkan sahaja untuk kita semua temui sendiri. Namun, pembaca sekalian dialu-alukan untuk bertanya di ruang komen jika ada kesangsian dan saya akan cuba menjawapnya.
Kita, sebagai penulis blog mungkin berminat untuk mendapatkan update segera tentang apa-apa artikel yang diterbitkan oleh blog yang kita minati. Kebiasaanya blog-blog ini akan menawarkan kita melanggan artikel terbaru mereka dengan mendaftarkan email. Namun tidak semua orang suka membuka, memeriksa atau mendaftarkan email mereka. Dengan The Old Reader kita mempunyai pilihan untuk terus mendapatkan artikel terkini dari pelbagai sumber yang kita telah tetapkan dengan satu capaian.
Kita juga boleh mengikuti dan diikuti oleh pengguna lain. Fungsi ini membolehkan kita berkongsi artikel yang kita rasa menarik. Namun begitu saya memilih untuk tidak mengikuti sesiapa untuk menjaga feed saya dan menghadkannya kepada blog yang saya minati sahaja dan bukannya cadangan dari orang lain.