Adakah anda seorang yang peminat kisah mistik yang minat tentang kisah hantu, sihir, bomoh, alam ghaib dan sebagainya? Jika jawapan anda adalah ya, maka anda semestinya pernah mendengar cerita tentang santau, ataupun kisah seseorang disihir.
Menurut kepercayaan di masyarakat Melayu, antara tanda-tanda terkena sihir yang sering diperkatakan ialah batuk berdarah. Ini juga adalah simptom bagi penyakit tibi. Jadi, tidak hairanlah ramai mengaitkan sihir dengan tibi. Namun, betulkah desas-desus tersebut?
Penyakit tibi sebenarnya dikesan dari zaman Firaun lagi melalui pemeriksaan tulang mumia oleh pakar tulang yang mengkaji sejarah Mesir purba.
Unsur genetik bakteria ini juga ditemui dalam rangka tulang berusia sekitar 6,000 tahun di Selatan Peru. Wabak ini juga telah merebak ke banyak benua lain seperti Afrika dan Eropah, serta Asia sejak berkurun dahulu dan ini telah meragut nyawa ramai orang dan juga haiwan.
foto kredit kepada intirakyat.com
Dan apa yang lebih menyayat hati adalah terdapat ramai orang juga yang mati bukan akibat tenat daripada penyakit itu, tetapi kerana diarahkan untuk dibunuh seperti yang terjadi di Poland ketika penjajahan Nazi dahulu yang mengorbankan lebih daripada 30,000 nyawa. Ini merupakan satu kajian yang penting yang diarahkan oleh Hitler pada masa itu untuk menghasilkan penyakit ini.
Ketika itu, ramai, bukan sahaja daripada kalangan Melayu, tetapi negara asing lain yang jauh lebih membangun daripada kita juga di waktu itu, yang membuat spekulasi berunsur mistik dan mendakwa penyakit itu adalah berpunca daripada perbuatan syaitan.
Penyakit Tibi/Batuk Kering
Sebenarnya, penyakit tibi atau dalam bahasa Melayu kita lebih dikenali sebagai batuk kering adalah penyakit yang berpunca daripada bakteria Mycobacterium tuberculosis.
Walaupun saya tidak menolak kewujudan ilmu sihir, namun tibi tiada kaitan dengan ilmu sihir dan anda tidak seharusnya membazir masa anda untuk pergi berjumpa bomoh dan dapat rawatan dari sesuatu yang tidak tentu dengan kewujudannya.
Ini adalah kerana ia boleh menjadi semakin merbahaya dan boleh menjangkiti orang-orang tersayang disekitar anda. Apa yang perlu anda ketahui bahawa penyakit ini sekarang boleh sembuh melalui rawatan moden yang disediakan.
Pencengahan Untuk Batuk Kering
Di negara kita, langkah pencegahan yang diambil kerajaan ialah dengan mewajibkan suntikan vaksin BCG semenjak bayi lagi bagi merangsang sistem imunisasi.
Namun, masih ada juga orang yang mendapat penyakit ini akibat daripada imunisasi sangat lemah mungkin kerana keturunan atau akibat daripada penyakit lain seperti HIV yang melemahkan sistem imunisasi badan. Dan juga kerana sikap kurang prihatin oleh sesetengah golongan masyarakat yang “menganut” dengan fahaman anti-vaksin.
Bakteria Boleh Ditemui Di Mana-Mana Sahaja
Bakteria berada di mana-mana sahaja. Vaksin BCG juga adalah sejenis bakteria yang telah dilemahkan. Begitu juga dengan bakteria tibi. Ia tersebar melalui udara dan mungkin sedang bertebaran di sekeliling kita buat masa sekarang.
Ia mungkin tersebar ketika anda menaiki bas, ketika sedang membeli belah, ketika di warung makan, ketika bersenam di taman dan sebagainya.
Bagi orang yang sihat pun mungkin mereka boleh ada atau mungkin pernah dihinggapi bakteria tibi. Namun, anda jangan bimbang sangat, sekiranya anda telah mengikuti prosedur vaksin yang digariskan oleh kerajaan, sistem badan anda akan jadi cukup kuat untuk mengawal bakteria tersebut.
Bakteria Mudah Mati Bila Terdedah Kepada Matahari
Bakteria tibi juga sebenarnya mudah mati apabila terdedah kepada sinaran matahari. Kebanyakan kes jangkitan tibi berlaku ketika di dalam rumah atau bangunan.
Jadi, salah satu petua untuk hilangkan atau cara untuk memastikan tiada penularan wabak tibi ialah dengan memastikan ada sistem pengudaraan yang baik di kediaman rumah, tempat kerja atau tempat yang anda sentiasa berada.
Kita semua terdedah kepada bakteria tibi. Sementara sesetengah daripada kita mempunyai sistem badan yang mampu membunuh terus bakteria tersebut, sesetengah daripada kita mungkin cuma mampu mengawal bakteria itu dan akhirnya menjadi pembawa.
Lama-kelamaan, kesihatan pembawa juga boleh merosot akibat penyakit lain sehingga akhirnya menyebabkan si pembawa juga menjadi berisiko tinggi untuk menderita penyakit tibi.
Rawatan
Jadi, anda juga sangat disarankan untuk mencuba rawatan-rawatan tradisional dan semulajadi yang lain untuk membantu sistem badan anda menjadi lebih kuat untuk menentang serangan penyakit tibi.
Apa yang paling mudah dilakukan ialah dengan mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang seperti pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Contohnya bawang putih yang mengandungi sulfur yang bertindak sebagai agen anti bakteria semulajadi dan ia juga meningkatkan sistem imunisasi badan.
Buah-buahan seperti jus nenas pula dipercayai dapat mengurangkan penghasilan mukus dan membantu pemulihan lebih pantas. Pisang juga dikatakan dapat merangsang sistem imunisasi badan orang yang dijangkiti tibi dan meredakan demam dan batuk disebabkan bakteria tibi.