Bab alat ganti tiruan Proton memang panas dari dulu lagi, tambahan pula kita sebagai pengguna kurang arif yang mana satu alat ganti asli atau tiruan apabila alat ganti tiruan menggunakan pembungkusan dan pelabelan 100 peratus sama seperti yang asli. Menurut Proton, alat ganti asli yang dikeluarkan oleh mereka (OEM) lebih berkualiti dan terbukti lebih selamat untuk digunakan pada kenderaan. Alat ganti tiruan bukan saja menipu pelanggan dengan harga yang mahal, malah tahap ketahanan dan keselamatannya tidak boleh diharapkan dan dikhuatiri mampu menyebabkan kerosakan pada kenderaan. Paling menakutkan ialah penggunaan alat ganti tiruan boleh menyebabkan kemalangan, kecederaan dan kehilangan nyawa.

Label alat ganti asli Proton – terdapat banyak garisan barcode yang lebih tebal dan warna biru lebih cerah
Label alat ganti tiruan Proton – garisan barcode lebih kecil dan warna biru lebih gelap
Terdapat empat jenis alat ganti. Yang pertama ialah alat ganti asli Proton (Proton Genuine Parts) yang dikeluarkan oleh Proton sendiri, juga dikenali sebagai alat ganti OEM (Original Equipment Manufacturer). Yang kedua ialah alat ganti jenama kedua Proton (Proton Second Branding Parts), ditawarkan kepada pengguna yang mahukan alat ganti dengan harga lebih murah. Selain itu alat ganti jenama kedua Proton juga untuk kegunaan kenderaan yang telah tamat tempoh waranti dan pemiliknya tidak mahu membeli alat ganti asli (Poton Genuine Parts) yang lebih mahal.
Botol cecair ATF – Tudung botol alat ganti asli disebelah kiri lebih berkualiti berbanding tudung botol alat ganti tiruan di sebelah kanan
Alat ganti yang ketiga pula ialah alat ganti tiruan yang meniru alat ganti jenama Proton, termasuk meniru dari segi pembungkusan dan pelabelan sehingga hampir sama 100 peratus. Sebab itu ianya dipanggil alat ganti tiruan kerana ianya tidak dikeluarkan oleh Proton atau mana-mana vendor Proton yang bertauliah. Tahap pembuatan alat ganti tiruan juga didapati tidak menepati piawaian untuk digunakan pada kenderaan dengan selamat. Selain itu pengguna juga ditipu apabila membeli alat ganti tiruan. Mereka membayar harga untuk alat ganti asli Proton, tapi apa yang mereka dapat hanyalah alat ganti tiruan berkos murah.
Alat ganti asli Proton ‘Fuel Pump’ – di sebelah kiri ialah produk tiruan dan di sebelah kanan yang asli. Perbezaannya ialah yang asli lebih cerah materialnya.
Alat ganti Proton yang keempat pulak ialah yang dikeluarkan oleh pihak ketiga. Alat ganti tersebut menggunakan jenama mereka sendiri dan ditawarkan pada harga yang lebih murah berbanding alat ganti asli Proton. Alat ganti pihak ketiga tidak menjadi satu kesalahan kerana mereka menggunakan jenama mereka sendiri, tidak memberi kesan negatif kepada jenama Proton. Pengguna pula sudah sedia maklum bahawa alat ganti tersebut bukan dikeluarkan oleh Proton apabila mereka membelinya, jadi tidak berlaku unsur penipuan kepada pengguna. Selain itu, alat ganti Proton yang dikeluarkan oleh pihak ketiga menjadi pilihan kepada pelanggan yang mahukan alat ganti dengan harga murah, namun kualitinya masih tidak sama dengan alat ganti asli Proton (Proton Genuine Parts).
Penapis minyak asli Proton – yang di sebelah kiri ialah alat ganti tiruan, logo dan kotak putih kelihatan pudar berbanding alat ganti asli di sebelah kanan, logo dan kotak putih lebih terang.
Penapis minyak asli Proton – di sebelah kiri ialah alat ganti tiruan dan di sebelah kanan alat ganti asli, perbezaan kualiti pembuatannya begitu ketara sekali.
Bagaimana anda mahu mengesan alat ganti Proton tiruan dan yang asli? Foto-foto yang dipaparkan di sini menunjukkan beberapa alat ganti tiruan dan asli Proton. Sekali imbas kedua-duanya hampir sama tetapi masih terdapat perbezaan yang boleh dikesan dengan mudah.