Jika sebelum ini saya berkongsi pengalaman bersama anda mengenai sesi lawatan saya dan rakan-rakan sekuliah saya ke Malaysia Animation Creative Content (MaC3), di dalam entri ini saya akan menyambungnya pula untuk sesi di Rhythm & Hues Studios.
Untuk pengetahuan anda, Rhythm & Hues Studios (R&H) juga terletak di Cyberjaya dan lokasinya berhampiran dengan MaC3. R&H adalah sebuah syarikat penerbitan filem terkemuka di peringkat antarabangsa memfokuskan kepada filem-filem yang mempunyai kesan khas (CGI) dan teknik gabungan dunia realiti dan animasi 3-dimensi.
Antara portfolio utama R&H adalah ‘Alvin And The Chipmunks’, ‘Mr. Popper’s Penguins’, ‘X-Men’ dan pelbagai lagi filem-filem hollywood di pasaran pada waktu sekarang.
R&H mempunyai cawangannya di seluruh dunia termasuk di Kuala Lumpur. Dan, satu perkara yang menarik tentang sistem kerja R&H adalah, setiap filem yang dihasilkan adalah hasil kerjasama semua ‘artis’ mereka daripada seluruh cawangan mereka di seluruh dunia.
Sebagai contoh, tim R&H di Kuala Lumpur akan memfokuskan kepada tugas rekaan model (modelling), manakala tim R&H di Mumbai pula akan memfokuskan kepada pengesanan kamera (camera tracking) dan tim R&H di Los Angeles memfokus tugas memperhalusi tekstur dan kesan khas (texture, fluid & special effects).
Kebiasaanya, mereka akan bekerja serentak di setiap cawangan untuk satu tempoh masa bagi sesetiap projek yang dirancang dan setiap cawangan (negara) diberi tugasan yang khas.
Kami cukup bertuah pada hari tersebut kerana tim R&H sudi berkongsi beberapa tips yang mereka amalkan dalam misi menjayakan suntingan sesebuah karya filem yang hebat dalam masa yang diperuntukkan tanpa sebarang masalah kelewatan seperti yang sering dihadapi pada saat-saat akhir beberapa buah produksi lain.
# 01 – Tugas Khusus Setiap Individu – Bantu Kekalkan Fokus
Di R&H Malaysia, mereka dipecahkan lagi kepada beberapa pecahan dan bahagian yang lebih kecil. Setiap daripada mereka pula diberikan tugasan yang khusus dan mereka harus melaksanakan tugasan yang diberi sebaik mungkin sehingga projek itu selesai.
Perkara ini penting bagi memastikan setiap ‘artis’ untuk kekal fokus dengan tugasan dan kepakaran masing-masing dan bagi menjamin kelancaran projek. Mereka akan dikumpulkan di dalam bahagian yang sama dan duduk bekerja bersama-sama.
# 02 – Kelengkapan Mencukupi – Serba Lengkap
Setiap daripada ‘artis’ diberikan sekurang-kurangnya dua skrin monitor bersama-sama sebuah set CPU berkuasa tinggi. Bagi sesetengah ‘artis’, satu kelengkapan tambahan yang ada adalah drawing pad bagi menyokong proses suntingan mereka.
Tidak mustahil mereka mampu menghasilkan kejayaan demi kejayaan. Jika dilihat pada set kelengkapan yang mereka gunakan ini sahaja sudah cukup memberi gambaran kepada kami bahawa kelengkapan yang mencukupi dan lengkap itu sangat diperlukan dalam menghasilkan sebuah karya dan suntingan yang baik.
# 03 – Waktu Kerja Santai – Rehat Apabila Stress
Sewaktu kami dibawa meninjau sekitar work-station mereka, kami sempat melihat beberapa orang daripada ahli tim R&H sedang berseronok bermain dan bersantai.
Saya percaya, sebagai seorang pekerja yang tugasnya menuntut kesabaran dan ketelitian yang tinggi, bangkit dan keluar berehat bersama-sama rakan adalah antara salah satu cara yang terbaik untuk menghilangkan stress dan rasa penat bekerja.
# 04 – Tugasan Khusus Setiap Hari – Wajib Siap
Selain daripada mendapat tugasan yang khusus, mereka ini juga diberi tugasan pada setiap hari. Mereka wajib menyiapkan tugasan yang diberi sebelum pulang bekerja bagi memastikan kelancaran kerja pada tim di bahagian seterusnya yang akan menggunakan bahan tersebut pada hari berikutnya.
Melihat kepada disiplin kerja sebegini, terbukti R&H mampu menyiapkan setiap projek yang diamanahkan tepat pada masanya. Setiap ahli memberikan komitmen yang penuh dan mereka kelihatan cukup berdisiplin di dalam tugasan masing-masing.
# 05 – Berbincang Di Tempat Yang Tenang – Elak Gangguan
Seterusnya, mereka ini gemar melakukan perbincangan dan setiap perbincangan cuba dilakukan pada satu tempat seperti bilik mesyuarat yang sunyi dan sedikit jauh daripada ruang kerja rakan-rakan yang lain.
Duduk dan berbincang bersama-sama rakan sekumpulan sangat penting dan boleh membantu memperhalusi setiap jalan cerita yang akan disampaikan. Kami sempat melihat dua orang ahli R&H sedang menyusun trup askar mainan di atas meja di dalam sebuah bilik mesyuarat bersama-sama beberapa helai kertas dan buku catatan. Mereka ini sedang merangka story-board sebuah projek terbaru.
# 06 – Sentiasa Berkongsi Pendapat – Idea Lebih Mantap
Oleh kerana mereka bekerja untuk satu projek yang sama dan berada di lokasi yang berbeza, sidang video berkumpulan (video conference) sering mereka lakukan bagi berkongsi idea dan pendapat masing-masing untuk projek yang diusahakan.
Jika di Malaysia, budaya kerja sebegini masih awal dan masih belum ramai yang menggunakan cara ini untuk berhubung. Secara peribadi, saya juga suka dengan cara sidang video sebegini kerana proses penjanaan idea lebih cepat berlaku apabila kita melihat dan bercakap.
# 07 – Sistem Aliran Data dan Tugas Efektif – Tiada Lagi Cara Lama
Jika sebelum ini kita sering menggunakan pemacu keras (pen-drive) sahaja untuk proses pemindahan data, di R&H, mereka menggunakan sebuah sistem yang diberi nama sebagai “Pipeline“.
Fungsi Pipeline adalah sebagai saluran utama yang membawa setiap fail-fail kerja daripada setiap pekerja dan bahagian ke pekerja dan bahagian yang lain. Sistem ini dihubungkan dengan pelayan (server) mereka dan boleh diakses oleh semua ahli R&H di seluruh dunia pada bila-bila masa.
Perjalanan separuh hari ke MaC3 dan R&H rasa tidak puas. Pelbagai tips, proses kerja dan pengenalan kepada dunia dan industri kreatif diperkenalkan kepada kami secara langsung dan tidak langsung. Syukur Alhamdulillah.
Kepada pembaca blog yang budiman, semoga perkongsian ini bermanfaat buat anda khususnya jika anda seorang Usahawan yang mempunyai tim sendiri dan bekerja dari jarak jauh seperti tim R&H.
Semoga idea daripada artikel ini boleh memberi inspirasi dan suntikan motivasi kepada kita untuk terus memajukan bisnes masing-masing dan mempunyai sebuah ‘sistem’ dan tim sehebat ini kelak. Insya-Allah.
PS: Kami tidak dibenarkan untuk merakam sebarang foto atau video sepanjang sesi tinjauan ke work-station mereka. Saya hormati arahan yang dikeluarkan.