Siapa tak kenal dengan spammer? Boleh dikatakan, semua yang mempunyai email dan blog akan merasa tempiasnya. Malah mereka bukan terhenti dengan dua saluran ini sahaja, ada yang lebih agresif lagi dengan menggunakan medium pos dan sms.
Persoalannya, adakah mereka berjaya mendapat hasil atau keuntungan?
Mengikut kajian Barat, spammer di sana mendapat pendapatan kira-kira 7000 USD setiap hari! Wow, banyak tu! Satu bulan sudah boleh beli rumah tu 🙂
Apa kata kita sebagai blogger belajar sesuatu daripada spammer ini. Mana tahu, teknik mereka menjadi untuk kita.
Memang benar, mereka mempunyai sisi yang tidak baik atau negative tetapi mereka juga mempunyai sisi yang positif. Terutama cara pemasaran mereka yang benar-benar agresif dan berkesan.
Pelajaran Pertama: Menggunakan Tajuk Yang Menarik Dan Panas
Ini kelebihan Spammer. Email mereka dikenali dengan tajuk-tajuk yang pelik. Kadang-kadang tak terbayang pun, tajuk itu sanggup dihantar oleh seorang perempuan. Tajuknya 18sx dan kadang-kadang malu untuk dibaca. Memang menarik dan panas je apabila membaca tajuk macam tu.
Kadang-kadang tulis tajuk seolah-olah kita dapat duit daripada bank. Rupa-rupanya hendak suruh baca artikel dia.
Jadi, daripada sini kita boleh belajar tentang pentingnya penggunaan tajuk yang betul-betul menawan hati pembaca. Jangan ambik enteng bab tajuk ini.
Antara idola saya dalam pemilihan tajuk bagi sesuatu artikel atau buku ialah Dr HM Tuah. Antara tajuk-tajuk bukunya yang pelik dan mengujakan seperti “Ada bagus, baguss”, “Tau Tak Apa”, “Biar Betul-Betul” dan lain-lain. Memang tajuknya tak masuk akal pada suatu ketika dahulu, tetapi beliau telah memecahkan tembok tersebut.
Pelajaran Kedua: Jangan Pedulikan Kata-Kata Orang
Memang untuk menjadi spammer kita kena tebal muka. Begitu juga untuk menjadi blogger, kita kena tebal muka untuk belajar dan menulis. Walaupun penulisan kita masih biasa-biasa, tetapi kita perlu menulis untuk terus belajar.
Selain itu, blogger juga perlu tebal muka untuk mempromosi blog dan penulisannya. Jangan malu untuk tunjuk kemahiran kalian walaupun ianya tidak seberapa berbanding orang lain. Sebab apa? Sebab setiap penulis terkenal itu juga bermula sebagaimana kalian bermula. Mereka juga merayu dan memohon orang lain ketika membuat promosi.
Justeru, kenapa takut untuk merayu untuk menjadi lebih hebat? Teknik berkesan untuk merayu sebagai blogger adalah menjadi penulis tamu di blog-blog yang terkenal. Merayulah dengan tuan punya blog tersebut untuk kalian tunjukkan kemahiran yang kalian ada sebagai blogger.
Pelajaran Ketiga: Keluarkan Modal Untuk Membeli Sistem Terbaik
Seorang spammer memerlukan beberapa tools atau software bagi menyempurnakan gerak kerja mereka serta menjimatkan masa mereka. Malah, kualiti juga menjadi kepentingan bagi memastikan tiada kerja yang terbantut seperti menggunakan Aweber bagi mailing list dan lain-lain.
Mereka mengajar blogger supaya lebih serius dalam mengeluarkan modal. Penggunaan software dan tools boleh memberikan kesan yang lebih efektif kepada blogger. Oleh itu, para blogger perlu meluangkan masa untuk mencari produk-produk seperti ini dan mencubanya di blog sendiri.
Pelajaran Keempat: Melihat Pasaran Bagi Produk Yang Berkualiti
Barang yang panas merupakan kunci keuntungan spammer. Oleh itu, mereka perlu peka dengan pasaran yang penuh dengan lambakan produk-produk yang sering bersilih ganti.
Sama halnya dengan blogger. Mereka perlu peka dengan keadaan semasa dan isu-isu yang dibangkitkan dalam masyarakat. Daripada sini, mereka boleh membantu masyarakat dalam mendapatkan maklumat mereka.
Di sini juga memerlukan kekuatan idea dan maklumat daripada blogger untuk menulis sesuatu yang baru dan dikehendaki oleh masyarakat. Justeru blogger perlu memperbanyakkan “bahan bakarnya”.
Pelajaran Kelima: Buat Dulu Dan Lihat Hasilnya Kemudian
Kerja sebagai spammer memang tidak masuk akal. Bagaimana boleh buat keuntungan dengan cara begini? Malah, spammer-spammer di luar sana juga tidak berkongsi dengan masyarakat tentang hasil kejayaan mereka.
Jadi, kebanyakan spammer yang ada, mereka melakukan tindakan ini dengan sumber maklumat yang kurang. Boleh dikatakan mereka ini memegang prinsip: “buat dahulu dan tengok hasilnya kemudian”.
Tak kiralah apa yang orang sangkakan bahawa kerja ini tak menguntungkan, mereka tetap mencuba dahulu dan tengok hasilnya.
Sebagai contoh, ambil teladan daripada Dr. HM Tuah tentang pemilihan tajuk bukunya. Kalaulah beliau tidak mencuba dengan mendatangkan tajuk-tajuk “pelik bin ajaib” ini pasti sehingga hari ini orang tidak mampu mengingati kelebihan buku-buku beliau.
Blogger juga perlu meniru cara ini. Buat pembaharuan yang kalian mahukan dan cubanya dahulu. Buat kajian serba sedikit dan apabila pasti dengan keputusannya dan terus buat walaupun cara tersebut belum terbukti berjaya atau tidak berjaya bagi setengah orang lain tetapi mungkin berjaya bagi kalian.
Kesimpulan
Jika kalian rasakan blog kalian belum benar-benar bagus, cuba teknik-teknik ini. Saya yakin kalian pasti mencipta nama di arena blog.
Jika artikel ini bermanfaat, sila tekan like. Semoga usaha kerdil itu mampu mengubah nasib orang lain.
Baca juga: