Web Analytics

3 Sebab Kerja Berkumpulan Gagal

Salah satu cara terbaik untuk menjayakan sesuatu perancangan besar dalam satu tempoh masa yang amat terhad adalah dengan kerjasama berkumpulan. Salah satu cara terbaik untuk ‘memusnahkan’ misi yang sama juga melalui kumpulan.

Saya tertarik untuk berkongsi pendapat peribadi saya di sini bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan, pembaca blog yang budiman. Entri ini saya tulis secara tidak sengaja selepas membelek kembali responds yang saya terima daripada rakan-rakan di Twitter siang tadi (saya menulis entri ini pada jam 03:15 pagi).

PS: Paparan di atas adalah respond daripada tuan Aqif Azizan selepas saya ‘tweet’ satu perkara akibat kesal dengan sikap beberapa orang rakan saya yang gagal menghadirkan diri untuk sesi pertemuan untuk satu projek pelajar yang akan di adakan tidak lama sahaja lagi.

Kerja Berkumpulan – Setiap Ahli Adalah Ketua

kumpulan kanak

Setiap hasil yang hebat, pasti bermula daripada perancangan dan persediaan insan-insan yang hebat di sepanjang perjalanan kerja itu sendiri. Dan, setiap ahli kumpulan itu adalah ketua. Ketua di sini bermaksud pemimpin kepada rakan kumpulannya yang lain.

Sebagai contoh, si A seorang ketua di Bahagian Pemasaran. Beliau mempunyai si B yang bertugas di Bahagian Jualan dan si C di Bahagian Operasi sebagai rakan kumpulan di dalam satu organisasi. Walaupun si A mahir dan diberi kepercayaan dalam pengurusan perihal pemasaran syarikat, pada masa yang sama, si B dan si C juga diberi tanggungjawab yang sama di dalam konteks yang berbeza.

Oleh yang demikian, terbukti di sini bahawa si A, si B dan si C adalah ketua kepada setiap yang lain dalam kalangan mereka. Jika ditanya si C yang bertugas di Bahagian Operasi mengenai idea pemasaran, sudah pastinya beliau akan merujuk si A yang bertugas di Bahagian Pemasaran. Dan, begitu sebaliknya.

Ketua Adalah Pemimpin – Tulang Kejayaan Kumpulan

pilot
Setiap daripada ahli kumpulan memainkan peranan yang cukup besar. Walaupun usaha dan keringatnya tidak nampak secara jelas, percayalah bahawa kerjasama dan usaha yang diberikan oleh setiap seorang daripada kumpulan itu amat diperlukan.

Sebagai contoh, andaikan si A yang mahir dalam pemasaran ini tiada buat beberapa minggu di syarikat. Sudah pasti si B yang bertugas di Bahagian Jualan dan si C yang bertugas di Bahagian Operasi akan turut sama merasai kesannya.

Bagaimana? Baiklah. Mudah sahaja. Umum kita mengetahui bahawa pemasaran itu adalah nadi kepada terhasilnya sesuatu jualan. Dan, daripada stok yang berjaya dijual inilah, tim di Bahagian Operasi akan mengeluarkan ‘batch’ baru untuk dipasarkan.

Jadi, dalam kisah si A, si B dan si C ini, jika salah seorang daripada mereka gagal memberikan yang terbaik, sudah pasti keseluruhan perjalanan syarikat akan terbantut. Jelas di sini bahawa SETIAP daripada ahli kumpulan itu sangat penting dalam memainkan peranan masing-masing.

Baiklah, kita ambil sahaja situasi yang sama untuk penerangan sebab-sebab ini. Saya masih menggunakan watak si A (Ketua Bahagian Pemasaran), si B (Ketua Bahagian Jualan) dan si C (Ketua Bahagian Operasi) sebagai watak utama.

#1 – Tiada Kepercayaan – Buat Ini Tidak Kena, Buat Itu Tidak Kena

less confident

Keperluan asas dalam kerja berkumpulan adalah kepercayaan. Hubungan yang baik juga berkait rapat di sini. Bayangkan jika setiap kali si A membentangkan ideanya untuk projek-projek pemasaran syarikat, si B dan si C hanya senyum sinis daripada jauh dan tidak meletakkan kepercayaan dan sokongan untuk si A terus berjuang.

Si A mungkin boleh berbangga dengan idea dan usul yang dihujahkan di hadapan barisan lembaga pengarah syarikat. Tetapi, percayalah, idea yang dilontarkan hanya akan tinggal idea. Ini kerana, jika si B dan si C tidak mahu melihat kejayaan yang sama dan tidak meletakkan kepercayaan yang serupa, mustahil matlamat yang diidamkan akan tercapai.

#2 – Sibuk Hal Masing-masing – Hal Engkau, Hal Engkau

Bayangkan pula apabila si A ini berusaha sehabis baik dalam merangka idea pemasaran baharu untuk syarikat. Apabila idea itu dikongsi untuk sesi pendapat kepada si B dan si C, kedua-duanya menyambutnya dengan dingin dan bersahaja. Tiada sebarang ekpresi sokongan ditunjukkan dan hanya ‘melihat tanpa mendengar’.

Matlamat dan angan-angan menggunung si A sekali lagi akan terbengkalai begitu sahaja. Kerja berkumpulan seharusnya mengutamakan sesi perbincangan lebih daripada yang lain. Kenapa? Kerana saya percaya, hanya melalui sesi ini sahajalah, semua ahli akan duduk mendengar setiap perancangan dan memberikan pendapat mereka masing-masing.

#3 – Arahan Kabur – Ahli Pasif


Seperti yang kita sedia maklum daripada penerangan di atas, setiap daripada mereka ini adalah ketua kepada lain. Adalah mustahil bagi si B dan si C untuk melalukan aktiviti pemasaran. Namun, jika si A ini memberikan arahan yang jelas dan lengkap, tidak mustahil si B dan si C boleh melakukan promosi yang sama walaupun bertugas daripada bahagian yang lain.

Oleh yang demikian, fokus kepada penyampaian arahan yang jelas dan lengkap setiap kali sesi perbincangan. Ini penting bagi memudahkan setiap tugasan yang akan dibuat tanpa sebarang kepincangan. Lebih baik, setiap arahan ini diulangi beberapa kali bagi mengingati mereka akan tugasan yang wajib mereka selesaikan.

Saya menulis berdasarkan pengalaman saya menguruskan beberapa agenda dan program sebelum ini. Juga daripada pengalaman saya menguruskan tim Zulh Freelancer dan Muslim Wears sendiri. Saya tiada sebarang skil kepemimpinan. Saya hanya berikan komitmen yang terbaik yang saya mampu dan tidak memberi sebarang alasan.

Skil kepemimpinan itu boleh dibina. Melalui sistem mentor (secara langsung) atau melalui pemerhatian dan pengalaman (secara tidak langsung). Saya menulis dan berkongsi atas dasar pemimpin dan sifat kepemimpinan yang saya ada. Semoga tuan-tuan dan puan-puan memperoleh manfaat daripada perkongsian saya ini.

Kredit foto: andrewcv, jurvetson, striatic, flossyflotsam, wwworks.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *